Bayern Munich tempang susulan kecederaan Matthijs de Ligt
Fatin Ruzaiman
November 3, 2023 10:04 MYT
November 3, 2023 10:04 MYT
Pertahanan Bayern Munich, Matthijs de Ligt, terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan bahagian lutut yang dialamimya ketika perlawanan Piala DFB-Pokal, tewas 1-2 kepada Saarbrucken.
Bek tengah berbangsa Belanda itu terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak pertama perlawanan piala pusingan kedua menentang pasukan divisyen tiga berkenaan semalam.
Susulan ujian imbasan yang dilakukan, Bayern mengumumkan De Ligt mengalami koyakan separa ligamen di lutut kanannya hingga memerlukan dia menjalani sesi pemulihan yang panjang.
Juara Bundesliga itu dalam satu kenyataan di laman web rasmi berkata: "Matthijs de Ligt mengalami kecederaan koyak ligamen di sendi lutut kanannya ketika FC Bayern tewas kepada FC Saarbrucken 1-2 dalam pertemuan Piala DFB.
"Ia dikesan selepas ujian imbasan yang dijalankan oleh pihak perubatan kelab semalam.. Oleh itu, pertahanan tengah, de Ligt, bakal terlepas perlawanan FC Bayern yang seterusnya."
Anak buah Thomas Tuchel itu bakal kembali beraksi dalam liga utama esok dan akan berhadapan Borussia Dortmund untuk pertemuan pertama Der Klassiker musim ini.