LIGA SUPER MSIA
Bawa air sendiri, kecederaan tidak ditanggung -- Tular isu pemilihan pemain Melaka
Pemain digalakkan membawa air minuman sendiri. Sebarang kecederaan, kehilangan, kerosakan dan kemalangan adalah dibawah tanggungjawab sendiri.
Itulah terma yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Melaka (Melaka FA) berikutan sesi pemilihan pemain bagi membentuk skuad Piala Presiden 2025, musim ini.
Perkara tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada peminat tempatan termasuk komen positif dan negatif berkenaan penganjuran pencarian bintang baru bawah 20 tahun (B-20) untuk mewakili Melaka.
Iklan
Program itu akan berlangsung bermula Isnin ini sehingga Rabu di Drago Arena pada waktu malam.
Namun, apa yang lebih menarik ialah, Melaka bakal kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas sekian lama tidak kedengaran mengenai skuad itu dalam kancah bola sepak tertinggi negara.
Pembentukan skuad Piala Presiden dilihat menjadi persediaan awal untuk merangka keseluruhan pasukan.
Untuk rekod, Melaka FC yang bukan dibawah persatuan dikendalikan jurulatih berpengalaman, K. Devan, telah merangkul kejuaraan Liga A1 Semi-Pro, bulan lalu.
Must-Watch Video