Joey Barton menyangkal dakwaan dia cuba mendapatkan kad merah bagi penyerang Lincoln City, Matt Rhead, tetapi mendakwa pihak lawannya itu sering 'berlakon' selepas menyaksikan Burnley tewas mengejut dalam saingan Piala FA, malam tadi.
Tandukan Sean Raggett pada minit ke-89 mengesahkan kemenangan Lincoln City di Turf Moor, sekaligus membawa kelab bukan liga itu ke peringkat suku akhir.
Ia merupakan kejayaan pertama bagi sesebuah kelab bukan liga untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak 1914.
Barton terlibat dalam satu perbalahan ketika Burnley semakin tertekan dalam babak kedua, dengan pemain tengah itu dikatakan sengaja merebahkan badan selepas kepalanya terkena tangan Rhead.
Bekas pemain Manchester City dan Rangers itu dikecam hebat dalam media sosial, dengan beberapa pihak mendakwa dia sengaja meluru ke arah tangan Rhead dalam percubaan untuk membuatkan pemain itu dibuang padang.
Barton menafikan dakwaan itu dan walaupun mengucapkan tahniah ke atas kejayaan Lincoln, dia bagaimanapun mengecam aksi lawan yang dikatakan gemar 'berdrama'.
Memuat naik status di Twitter, Barton berkata: "Saya tidak cuba membuat pemain itu dibuang padang. Memang tugas saya untuk menghalangnya dan ketika itu saya cuba tunduk, namun tangannya terkena kepala saya.
"Sentuhan adalah perkara biasa dalam satu perlawanan bola sepak, saya tidak ada masalah dengan perkara itu,
"Bukannya seperti pemain mereka yang berkata di telah ditendang dengan salah seorang daripada mereka merebahkan badan ke atas padang sambil memegang muka seperti baru sahaja di kasari.
"Tetapi insiden itu bukanlah kisah yang baik untuk diceritakan bukan? FairPlay untuk Lincoln. Semoga berjaya dalam pusingan seterusnya."
Bola Sepak
Barton dakwa Lincoln City gemar 'berlakon'
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena