Barisan skuad B-23 mudah hadam taktikal Juan Garrido Torres
Shaiful Shamsudin
Disember 26, 2023 19:03 MYT
Disember 26, 2023 19:03 MYT
Pertahanan negara, Harith Haiqal Adam Afkar, berlapang dada dengan kekalahan 1-2 kepada skuad B-23 China hari ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk melantik Juan Garrido Torres sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara yang akan mengharungi pusingan akhir Piala Asia di Qatar, April 2024.
Perubahan drastik itu berlaku selepas E. Elavarasan yang biarpun berjaya dalam tugasan kelayakan di Chonburi, Thailand, masih berdepan tekanan hebat sebelum melepaskan jawatannya.
Skuad B-23 baru sahaja mengharungi ujian kedua di China dan pelantikan Torres disambut baik menerusi corak permainan dan taktikal yang lebih mudah diserap pemain sebagai sebuah unit.
Namun, aspek pertahanan perlu diperbaiki segera agar mengelakkan peluang buat pasukan lawan mudah menjaringkan gol.
"Saya sangat berpuas hati sebab kalau nak dibandingkan dengan barisan terdahulu.
"Corak permainan kami banyak berubah di bawah Garrido.
"Kami lebih selesa dan faham dengan taktikalnya. Kami berpuas hati dalam dua perlawanan di bawah kendaliannya.
"Kami kena yakin dengan setiap perlawanan, tidak kisah mana-mana pasukan yang kami hadapi," katanya selepas perlawanan di Stadium Jingshu sebentar tadi.