Skip to main content

Bola Sepak

Barisan kedua Los Blancos mudah jinakkan Numancia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bale_5.jpg

NUMANCIA 0 REAL MADRID 3

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, memuji barisan keduanya selepas skuad muda yang diketengahkan dalam aksi pembukaan musim 2018 dengan mudah menjinakkan 10 pemain Numancia, 3-0, dalam pertembungan Copa del Rey, awal pagi tadi. 


Gareth Bale dan Dani Carvajal merupakan satu-satunya tonggak utama dengan pemain antarabangsa Wales itu membuat permulaan pertama sejak September lalu selepas dilanda kecederaan betis dan paha.

Bale membuka jaringan menerusi penalti selepas Lucas Vazquez dikasari -- pemain yang sama memenangi penalti kedua yang disempurnakan oleh Isco -- sebelum tandukan Borja Mayoral pada penghujung permainan melengkapkan kemenangan Madrid. 

Begitupun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila Inigo Perez sempat mencemaskan pintu gol lawan menerusi lambungan dari jarak 45 meter selepas Numancia beraksi dengan kekurangan seorang pemain susulan Pape Maly Diamanka dibuang padang manakala kedua-dua penalti yang dimenangi oleh Vazquez juga boleh diragui.

Numancia juga dinafikan penalti selepas Theo Hernandez menjatuhkan Dani Nieto, tetapi Zidane -- yang meraikan ulang tahun kedua pelantikannya -- lebih gemar menumpukan kepada perkara positif.

"Ini bukan gelanggang yang mudah, mereka bermain dengan baik," kata Zidane dalam sidang media selepas perlawanan. "Mereka menjadikannya sukar buat kami, namun kami mendapat hasil yang baik.

"Ramai antara mereka adalah pemain yang kurang diberi peluang beraksi dan mereka melakukannya dengan baik ketika berdepan sebuah pasukan yang tidak mudah mengalah. Saya gembira kerana anak buah saya memberi tumpuan sepenuhnya dan mencapai sesuatu yang baik.

"Perlawanan ini belum berakhir, kami masih perlu memberi tumpuan kepada pertemuan kedua. Pada babak kedua, kami berdepan beberapa masalah, lebih-lebih lagi ketika mereka bermain dengan 10 pemain. Apapun, saya gembira dengan permainan kami," katanya.

Bale berjaya bermain sejam sebelum dikeluarkan oleh Zidane yang menyatakan kesabarannya terhadap pemain sayap itu dalam usahanya mengembalikan kecergasan terbaik. 

"Penting untuk melihat sejauh mana situasinya," kata Zidane, yang belum memenangi Copa del Rey.

"Akhirnya dia bermain selama sejam tanpa masalah, dia berasa baik secara fizikal, jadi kami akan teruskan seperti ini."

Mayoral menjaringkan gol Copa del Rey yang ketiga pada musim ini dan pemain berusia 20 tahun itu mempunyai nisbah jaringan lebih baik berbanding mana-mana pemain Madrid musim ini, dengan purata satu gol dalam setiap 106 minit.

Bagaimanapun, Zidane menuntutnya agar bersabar sekalipun penyerang pilihan utama, Karim Benzema, sedang tersisih akibat kecederaan hamstring.

"Selagi boleh, dia akan bermain," tambah Zidane. "Tetapi, terdapat ramai pemain dalam skuad ini yang kurang mendapat peluang, mereka mesti bersabar."

Advertisement

Must Watch Video