Khabar angin bertiup bahawa pengurus Barcelona, Xavi, akan meneruskan peranannya pada musim depan selepas mengubah fikirannya untuk mengosongkan jawatannya di penghujung kempen 2023-24.

Januari lalu, bekas pemain tengah Barcelona itu mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan tugasan di penghujung musim ini di sebalik kontraknya akan berakhir hingga akhir musim berikutnya.

Xavi mengakui peranannya di Barcelona telah mula memberi kesan kepada dirinya sebelum dilaporkan sedia mengubah perancangannya selepas pertemuan dengan Presiden Blaugrana, Joan Laporta, semalam.

Pengurus berusia 44 tahun itu pada mulanya dilantik sebagai ketua jurulatih Barca pada 2021 dan membawa kelab gergasi LaLiga itu meraih gelaran liga utama dalam kempen 2022-23.

Pengumuman awal mengenai hasratnya untuk meninggalkan Barcelona dibuat selepas tempoh sukar berikutan kekalahan kepada Girona, Real Madrid dan Athletic sebelum mendedahkan berita itu sebaik tumbang 3-5 kepada Villarreal.


Bagaimanapun, Blaugrana mengubah nasib mereka sejurus hasrat itu diketahui umum dengan mengharungi 13 perlawanan tanpa kalah.

Lantas, adalah tidak mengejutkan jika prestasi sebegitu mendorong Laporta, naib presiden, Rafa Yuste, dan Pengarah Sukan, Deco, merayu agar Xavi meneruskan khidmatnya hingga kontraknya berakhir.

Walaupun rentak tanpa kalah itu lebur dengan kekalahan 1-4 kepada Paris Saint-Germain (1-4) yang menyingkirkan Barcelona daripada suku akhir UCL, Xavi kini dilaporkan bersetuju untuk kekal memegang peranannya.

Namun, kejuaraan liga sudah jauh daripada jangkauan mereka pada musim ini memandangkan Real Madrid mendahului 11 mata dengan kemenangan Clasico 3-2 kelmarin sambil Barca di tangga kedua.