RAYO 2 BARCA 1

Xavi berkata mungkin tiada alasan untuk menjelaskan sebab Barcelona tumbang 1-2 kepada Rayo Vallecano yang menyaksikan The Blaugrana terlepas peluang untuk melebarkan dominasi LaLiga kepada 14 mata.


Barca di laluan selesa untuk menamatkan penantian selama empat tahun dinobatkan juara liga dalam beberapa minggu akan datang dan kekalahan 2-4 Real Madrid di Girona semalam mencerahkan lagi laluan mereka.

Bagaimanapun, gol daripada Alvaro Garcia dan Fran Garcia, awal pagi tadi, memberikan Rayo kemenangan yang sewajarnya dengan sepakan voli lewat Robert Lewandowski terbukti sudah terlewat buat pelawat.

Barca hanya tumpas tiga kali dalam kempen liga musim ini tetapi skuad Blaugrana itu sekadar mengutip lima daripada 12 mata yang mendorong Xavi meragui keupayaannya mengekalkan potensi tersebut.

"Kami tidak memperagakan permainan yang menarik, kami tidak selesa. Pihak lawan berjuang tinggi, agresif dan mereka tidak membenarkan kami mengatur rentak," kata pengurus itu.



"Kami kurang memahami permainan ini, kami menyalahgunakan hantaran jauh. Saya tiada sebarang alasan, Rayo memang patut menang.

"Kami mencuba dengan berani hingga tamat perlawanan tetapi mereka lebih berhak meraih kemenangan ini. Kami mempunyai kelebihan dan hanya tinggal satu perlawanan lagi.

"Kami perlu memikirkan tentang perlawanan hujung minggu ini. Mesej saya kepada pemain ialah liga belum dimenangi lagi.

"Ia harga yang sangat tinggi untuk memenangi liga ini dan setiap perlawanan di tempat lawan adalah satu peperangan.

"Kekalahan ini membebankan dan menjengkelkan kami.

"Hari ini kami gagal dan kami pulang dengan rasa kesal kerana ia merupakan satu peluang yang sangat baik."