Banyak aspek Selangor FC kena perbaiki, kata Tan Cheng Hoe
Sinar Harian
April 6, 2023 10:18 MYT
April 6, 2023 10:18 MYT
Selangor FC masih belum berada dalam prestasi terbaik walaupun mempamerkan persembahan memberangsangkan dalam tujuh perlawanan awal Liga Super musim ini.
Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, berkata masih banyak kerja yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasi Gergasi Merah kepada tahap yang lebih baik.
“Kami tidak boleh (berpuas hati) dengan prestasi terumbang-ambing kerana setiap perlawanan cukup penting dan setiap mata yang dikutip penting untuk kami berada di kedudukan terbaik.
“Kami nak juga pemain bekerja keras setiap hari kerana kami masih lagi belum mencapai tahap terbaik, banyak yang kami perlu tingkatkan lagi termasuk daripada segi persefahaman dan taktikal.
“Paling utama kami bergerak dari satu perlawanan ke satu perlawanan kerana setiap perlawanan penting untuk kami dapatkan keputusan positif bagi mengelak jurang yang lebih jauh,” katanya.
Terdahulu, anak buah Chen Hoe bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Negeri Sembilan FC, 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, kelmarin.
Herold Goulon meletakkan skuad Hoben Jang Hoben di hadapan sebelum tamat babak pertama, namun Faisal Abdul Halim menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-56.
Tiga mata menjadi milik tuan rumah selepas Sharul Nazeem Zulpakar menyumbang gol kemenangan pada masa kecederaan.
Kemenangan ke atas Negeri Sembilan menyaksikan Selangor kini mengumpul 16 mata, lima mata di belakang pendahulu, JDT.
Kredit: Sinar Harian