Baddrol puji kerja keras pemain muda Lang Merah
Penulis Jemputan
Jun 27, 2018 20:18 MYT
Jun 27, 2018 20:18 MYT
Kejayaan menjinakkan PKNS 2-0 malam tadi membuktikan Kedah kini tidak terlalu bergantung kepada tonggak tertentu, sebaliknya kualiti dimiliki semua pemain dilihat berada di tahap yang setara.
Itu ditegaskan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, yang berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan rakan sepasukan biarpun Kedah kini berdepan krisis kecederaan.
Naik ke tangga ketiga selepas menumpaskan PKNS hasil gol sumbangan Paulo Rangel dan Andik Vermansah, Baddrol teruja dengan peningkatan perlahan-lahan yang dipamerkan meskipun bergelut dengan pelbagai masalah pada awal musim.
"Kami tidak risau dengan kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama sebab kami mempunyai pemain muda yang begitu berkualiti.
"Jurulatih memberi kepercayaan kepada pemain-pemain yang diturunkan, terutama pemain dari Piala Presiden.
"Pemain senior sentiasa memberi sokongan kepada pemain muda yang dinaikkan pangkat," kata Baddrol.
Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, pula belum boleh menarik nafas lega di sebalik kemenangan itu kerana masalah kecergasan menuju 20 minit terakhir masih terjadi dalam kalangan pemain.
"Di penghujung permainan, Kedah agak bergelut.
"Selepas ini, kami memiliki tempoh rehat yang panjang. Jadi, saya akan menggunakan kesempatan ini untuk meningkatkan tahap kecergasan bagi mengekalkan permainan sepanjang 90 minit," katanya lagi.
Sementara itu, Datuk K. Rajagobal mengakui percaturannya merehatkan beberapa pemain utama terpaksa diambil bagi memberi tumpuan kepada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.
"Saya perlu puji pemain kerana mereka telah berjuang bersungguh-sungguh, apatah lagi saya membuat pertukaran di beberapa posisi," ujarnya.