LIGA PERDANA MSIA
Azman mahu pujuk Annuar tanding jawatan presiden
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengetuai pencalonan presiden baru yang turut melibatkan tiga nama lain.
Pencalonan itu dilakukan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) yang merupakan ahli gabungan KAFA.
Annuar antara pilihan yang disandarkan harapan untuk menjernihkan semula situasi yang melanda The Red Warriors yang suatu ketika pernah menjadi satu fenomena.
Difahamkan, bekas pengurus Kelantan, Azman Ibrahim, memberitahu bahawa Annuar ada menyuarakan hasrat untuk tidak menerima pencalonan tersebut, namun keperluannya untuk menabur bakti kepada badan induk itu ketika saat genting amat diperlukan.
"Saya dengar mungkin dia akan menarik diri daripada pencalonan tetapi saya akan mewakili rakyat Kelantan dan cuba merayu agar dia menjadi calon presiden," katanya.
Dalam masa sama, Azman turut dicalonkan sebagai naib presiden KAFA selain Datuk Rosmadi Ismail dicalonkan selaku timbalan presiden.
"Saya juga terkejut yang pencalonan yang diterima oleh Annuar dan saya sendiri mendapat pencalonan. Saya perlu pulang dan bincang bersama rakan-rakan sebelum membuat keputusan."
Bagaimanapun, tiada sebarang perbincangan rasmi melibatkan nama-nama yang dicalonkan berlaku sehingga ke saat ini.