Pasukan bola sepak wanita Sabah bakal membuka kempen Liga Juara-Juara Asia Wanita (AWCL) 2024/25 dalam aksi kelayakan pertama mereka hari ini berdepan kelab dari Nepal.

Setelah muncul juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023, Sang Badak layak ke kejohanan AWCL tetapi ini hanyalah langkah permulaan kerana jika Sabah ingin mara ke peringkat kumpulan, mereka harus melepasi cabaran dua lagi wakil Asia, APF Club (Nepal) hari ini dan FC Nasaf (Pakistan) pada 31 Ogos untuk bergelar juara kumpulan C.

A post shared by @sabah_womens_team


Lebih menarik, dalam kempen AWCL 2024/25 ini, Sabah membawa masuk dua pemain import yang terdiri daripada pemain bola sepak kebangsaan menerusi Intan Serah dan juga kapten pasukan kebangsaan, Steffi Sidhu.

Dengan pengalaman beraksi di tahap tertinggi serta kemahiran yang ada pada dua pemain ini, ia bakal memberi nilai tambah kepada pasukan Sabah, lebih-lebih lagi dalam debut mereka di AWCL.

A post shared by Official Sabah FC (@officialsabahfc)


Ong Kim Swee dan pasukan lelaki Sabah FA juga tidak terkecuali memberikan sokongan kepada pasukan wanita yang bakal membuka aksi kurang beberapa jam saja lagi. Rata-rata penyokong juga memberi pandangan positif dan tidak sabar untuk melihat penampilan sulung pasukan wanita Sabah dalam kempen AWCL.

Selain Steffi dan Intan, Sabah juga mempunyai tiga lagi pemain import dari Jepun dan Myanmar, iaitu Misaki Nakayama, Eri Narita dan Win Theingi Tun.

Jika mereka berjaya menjadi juara kumpulan di peringkat kelayakan, ia pastinya bakal memberi satu nafas baru kepada perkembangan bola sepak wanita di Malaysia.