Skip to main content

Bola Sepak

Awas The Gunners, Ancelotti laung kebangkitan Napoli

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ancelotti.jpg
ARSENAL 2 NAPOLI 0

Carlo Ancelotti "cukup yakin" bahawa Napoli mampu menjangkau peringkat separuh akhir Liga Europa meskipun kalah 2-0 kepada Arsenal di Stadium Emirates, awal pagi tadi. 


Aaron Ramsey menjaringkan gol pada awal permainan dengan menyudahkan gerakan cantik sepasukan sebelum rembatan Lucas Torreira terkena pertahanan, Kalidou Koulibaly, untuk melebarkan kelebihan Arsenal.

Begitupun, rekod buruk The Gunners di tempat lawan menyaksikan mereka hanya menang dua kali sejak November lalu sementara hanya Juventus yang mampu menumbangkan Napoli di Stadio San Paolo dalam tempoh lebih setahun.

Dalam masa sama, Arsenal bakal bertandang ke tempat lawan dengan reputasi lolos lapan daripada sembilan perlawanan peringkat kalah mati Eropah sekiranya mereka memenangi pertemuan pertama, namun Ancelotti tetap berasakan Napoli dapat melangkah.

"Saya sangat yakin," kata pengurus Itali itu mengenai peluang pasukannya kepada BT Sport.

"Kami sedar dengan sokongan dan faktor bermain di stadium sendiri, kami akan cuba menang dengan dua gol.

"Kami tidak memulakan permainan dengan baik dan tidak beraksi baik dalam babak pertama. 

"Kami mengalami kesukaran tetapi dalam separuh masa kedua,, ia sama sekali berbeza. Kami perlu cuba, kami masih mempunyai baki 90 minit sekali lagi dan kami akan mengerah segala kudrat untuk cuba mara. 

"Sukar untuk menjelaskan tentang perlawanan ini kerana ia adalah dua perlawanan yang berbeza. Dalam separuh masa pertama, kami benar-benar beraksi buruk tetapi cukup bagus dalam babak kedua. Kami perlu fokus dalam pertemuan kedua sepanjang 90 minit di Napoli.

"Jaringan yang kami lepaskan adalah daripada dua kesilapan sendiri. Pada mulanya, ia adalah kesilapan hantaran dan kami gagal mengawal tekanan. Kami bermula goyah sehingga melepaskan gol tetapi kami mempunyai kebangkalian untuk mengubahnya di tempat sendiri. 

"Kami sepatutnya boleh menjaringkan satu gol tetapi mereka meletakkan tekanan hebat kepada kami dan berbahaya. Kami ketinggalan 0-2 dan kami perlu memikirkan aksi seterusnya."

Rakan sejawatannya di Arsenal, Unai Emery, sedar bahawa pintu ke separuh akhir masih terbuka, lebih-lebih-lebih lagi Lorenzo Insigne dan Piotr Zielinski terlepas peluang keemasan untuk mendapatkan gol di tempat lawan.

"Ia adalah keputusan yang baik tetapi kami amat menghormati mereka. Kami meraih keputusan seperti yang diharapkan dan perancangan kami berjalan lancar sepanjang 90 minit permainan," katanya kepada BT Sport.

"Kami menderita beberapa kali, mereka dapat menguasai permainan dan memiliki beberapa peluang tetapi kami beraksi dengan baik musim ini dan menghabiskan perlawanan ini.

"Kami tahu baki perlawanan masih ada lagi 90 minit lagi dan perlawanan selepas ini pasti berbeza. Kami perlu fokus, jelas dan tidak terlalu yakin, cukup sekadar yang kami perlukan sebagai untuk menghormati mereka."

Advertisement

Must Watch Video