Tahap kesihatan kurang baik tidak menjadi alasan buat skuad wanita berpasukan Poomsae memburu pingat emas selain menamatkan prestasi hambar sejak dua hari saingan Taekwondo bermula.

Skuad yang dianggotai Nur Humaira, Seah Jing Ying dan Wong Zin itu berjaya menewaskan pencabar terdekat dari Vietnam dengan keputusan 7.735 mata berbalas 7.720.

Nur Humaira mengakui skuad Vietnam mempunyai kelebihan dari segi fleksibiliti namun itu tidak mematahkan semangat mereka sepasukan untuk berikan aksi terbaik walaupun dilanda demam.

"Saya tidak sihat sebelum perlawanan dan sekarang pun masih ada rakan yang belum sihat tetapi selepas latihan rasanya terbayar.

"Saya tiga hari tidak berlatih kerana doktor suspek saya demam kerana virus dan denggi.

Menurut Humaira juga, dia terharu dan berterima kasih terhadap jurulatihnya, Jin Junbeom yang sepatutnya berada di samping keluarga di Korea kerana kehilangan ibunya namun sanggup hadir ke Surabaya untuk memberikan sokongan.

"Dia pulang semata-mata untuk melihat kami beraksi, jadi kami berterima kasih sebab sanggup hadir untuk melihat dan menjaga kami.

"Dia pulang satu minggu awal untuk melihat kami, kehadiran dia membuatkan semangat kami meningkat." katanya.