Skip to main content

Bola Sepak

Atletico tambah mantap dengan Costa, Vitolo

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

diego-costa.jpg
Kehadiran Diego Costa dan Vitolo akan membantu Atletico Madrid untuk terus berkembang, menurut ketua jurulatih, Diego Simeone.

Kedua-dua pemain itu baru ditandatangani secara rasmi selepas hukuman penggantungan perpindahan kelab itu berakhir yang menyaksikan kedua-dua taruhan baru itu membuat kemunculan sulung dalam kemenangan 4-0 dalam aksi Copa Del Rey di Lleida Esportiu, awal pagi tadi. 

Costa hanya memerlukan tempoh lima minit untuk merekodkan gol pertamanya apabila masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua, namun penyerang itu mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut kerana ditimpa masalah lutut kanan.

Simeone mengharapkan impak besar daripada Costa, -- penyerang yang telah dilepaskan Atleti untuk ke Chelsea sejurus memenangi LaLiga buat kali terakhir pada musim 2013-2014.

"Dengan kehadiran Vitolo dan Costa, kami ingin berkembang," kata Simeone dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami sedang berusaha untuk terus memperbaiki prestasi dan diharapkan kami akan mencapainya dengan pemain yang kami ada. Dengan menambah dua pemain handalan, adalah diharapkan kedua-duanya akan segera menyesuaikan diri.

"Pasukan bertindak balas dengan baik pada 20 minit pertama di Lleida, kami menempuhi babak pertama dengan baik, kami mempunyai peluang untuk menyudahkannya tatkala menentang pasukan yang bagus dan pada babak kedua, kemasukan Costa dan (Antoine) Griezmann menambah sengat kami.

"Ketibaan Costa menjana semangat, begitu juga Vitolo walaupun sedikit demi sedikit mereka perlu menyesuaikan diri dengan pasukan, itulah caranya."

Walaupun kehadiran Costa mungkin menyekat peluangnya, Fernando Torres menyumbat gol ketiganya dalam kempen Copa del Rey musim ini sementara Diego Godin dan Griezmann juga menemui sasaran dalam pertemuan pertama itu. 

"Pengenalan Costa menawarkan apa yang kami perlukan daripadanya: kelajuan, kekuatan dan fizikal. Tetapi pada babak pertama, Torres dan (Kevin) Gameiro melakukan permulaan baik menentang Lleida. Mereka melakukannya dengan cukup baik sekali dalam gol kedua," tambah Simeone.

"Gabungan (Yannick) Carrasco, Gameiro dan Torres membuatkan kami teruja dan saya gembira dengan perasaan pasukan ketika ini. 

"Kami mempunyai banyak persaingan dalam skuad dan akan ada beberapa pemain yang akan memainkan peranan dari bangku simpanan, ia bukanlah sesuatu yang mengejut," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video