LALIGA
Atletico capai persetujuan awal dengan Monaco ikat Lemar
Thomas Lemar sedang menuju ke Atletico Madrid selepas kelab Sepanyol itu mengumumkan mereka telah mencapai persetujuan awal dengan AS Monaco untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Perancis berkenaan.
Lemar sering dikaitkan dengan perpindahan dari Stade Louis II sejak menikmati kempen sensasi pada musim 2017 ketika menjuarai Ligue 1.
Pemain berusia 22 tahun itu merupakan anggota utama pasukan bimbingan Leonardo Jardim itu dengan menyumbat sembilan gol serta mencipta 10 peluang.
Kelicikannya menarik minat Arsenal -- termasuk yang lain -- sehingga di ambang perpindahan ke Stadium Emirates pada awal musim lalu, namun kegagalan Alexis Sanchez ke Manchester City dilaporkan menjadi penyebab perbincangan itu menemui jalan buntu.
Namun, dia akhirnya menemui cabaran seterusnya apabila Atletico memberikan bayangan mereka ingin mengecilkan jurang dengan juara La Liga, Barcelona, pada musim depan dengan menandatangani penyerang yang berpotensi tinggi.
Bukan rahsia lagi bahawa Atletico ingin memantapkan bahagian serangan setelah melepaskan Yannick Carrasco dan Nicolas Gaitan dengan berat hati kepada kelab Liga Super China, Dalian Yifang, pada Februari lalu tatkala jendela perpindahan Eropah sudah ditutup.
Pemergian itu meninggalkan skuad kendalian Diego Simeone itu kekurangan pemain tetapi mereka masih mampu mengatasi saingan sengit Real Madrid untuk meraih tangga kedua.
Lemar berharap ketibaannya akan menjadi kenyataan sambil mampu meyakinkan rakan sepasukan di peringkat antarabangsa, Antoine Griezmann, agar kekal.
Griezmann, yang dikaitkan dengan Barcelona, mengunci mulut mengenai perpindahannya dan hanya akan mendedahkannya selepas kempen Piala Dunia Russia bersama Perancis.
Lemar merupakan sebahagian pemain Didier Deschamps di Russia dan mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Australia pada Sabtu ini sekiranya Kylian Mbappe terpaksa diketepikan akibat masalah buku lali.