Astro tawar final Piala Malaysia dalam kualiti 4K, Dolby Atmos
Ammar Hakim
Disember 4, 2023 16:19 MYT
Disember 4, 2023 16:19 MYT
Buat julung kalinya, Astro akan menyiarkan siaran langsung aksi sukan tempatan untuk Piala Malaysia 2023 dalam paparan Definisi Ultra Tinggi 4K (4K UHD) di saluran khas, Saluran 806 UHD dan Saluran 799 HD serta kualiti audio terbaik dari Dolby Atmos.
Pelanggan Pek Sukan Astro dan Liga Malaysia Pek akan mendapat akses percuma dan boleh menikmati pengalaman terbaik menonton dengan Astro Ultra Box untuk menyaksikan perlawanan terunggul, JDT menentang Terengganu FC dalam 4K UHD yang menawarkan kualiti dan butiran lebih jelas empat kali ganda tinggi daripada Definisi Tinggi (HD).
Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata Astro selaku penyiar rasmi Liga Malaysia sentiasa komited untuk meningkatkan taraf liputan bola sepak tempatan melalui siaran langsung dan juga liputan komprehensif buat peminat bola sepak tempatan.
“Jika sebelum ini Astro menyiarkan paparan 4K UHD untuk sukan antarabangsa seperti Piala Dunia FIFA, UEFA EURO, Liga Perdana Enggeris (EPL) dan kini Astro menempa sejarah baru dalam arena sukan tanahair apabila menyediakan perkhidmatan serta pengalaman menonton yang lebih premium dan mengujakan buat pelanggannya dalam 4K UHD.
“Astro juga turut menawarkan platform interaktif dengan membuka satu lagisaluran 799 HD untuk peminat bola sepak mengundi pemain kegemaran yang mereka ingin lihat dengan lebih dekat dan jelas melalui teknologi ‘playercam’ yang akan digunakan pada perlawanan ini nanti, ia akan memberi perspektif baru sudut kamera dari seorang pemain.”
“Selain melihat paparan visual serta palet warna yang lebih realistik, penonton di rumah juga dapat mendengar kualiti audio yang lebih hebat dan jelas dengan system bunyi Dolby Atmos yang juga pertama kali digunakan dalam dunia penyiaran bola sepak tanahair. Teknologi ini akan memberi anda pengalaman optimum bunyi yang terbaik sama ada di peranti atau di pembesar suara, peminat akan merasai pengalaman seperti berada di stadium meskipun berada di rumah menonton dari kaca televisyen.”
Jelasnya lagi, Astro telah meletakkan satu penanda aras dalam kualiti penyiaran sukan tempatan di mana rakaman gerakan perlahan dan pergerakan super perlahan dalam kualiti 4K juga adalah pertama kali akan digunakan bagi memberi visual ulangan yang lebih terang insiden yang berlaku di padang,”katanya.
Untuk laporan berita terkini dan komprehensif anda boleh mengikuti Nadi Arena di saluran 801 HD seawal jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam di mana wartawan lokasi akan berkongsi suasana kemeriahan di stadium bersama peminat-peminat setia JDT dan Terengganu FC.