Skip to main content

Bola Sepak

Aspas jadi wira Sepanyol

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

aspas-cropped_1uf4kcgstieds1vg3gr8om490b.jpg
TUNISIA 0 SEPANYOL 1

Iago Aspas menjadi wira Sepanyol apabila menjaringkan gol kemenangan sewaktu berdepan Tunisia dalam aksi persahabatan di Stadium Krasnodar, awal pagi tadi.


Isnin lalu, Sepanyol sekadar mencatat keputusan seri ketika menentang Switzerland dalam satu lagi aksi pemanas badan, sekaligus mengharapkan kemenangan sebelum memulakan saingan Piala Dunia 2018.

Mempertaruhkan Rodrigo selaku penyerang tunggal, skuad kendalian Julen Lopetegui hampir dikejutkan oleh tuan rumah seawal minit ke-12 apabila percubaan Ferjani Sassi hasil hantaran Anice Badri tepat ke dakapan penjaga gol, David De Gea.

Tunisia sekali lagi membuatkan kubu La Roja kemas apabila hantaran lintang Badri tepat ke kaki penyerang, Naim Sliti, namun percubaan pemain yang dipinjamkan ke Sporting Dijon itu sedikit tersasar ke kanan pintu gol.

Walaupun Sepanyol lebih banyak menguasai perlawanan tetapi tuan rumah dilihat lebih bahaya apabila melancarkan serangan ke gawang lawan sehingga aksi memasuki babak kedua.

Lopetegui melakukan tiga pertukaran apabila memasukkan Lucas Vazquez, Koke dan Nacho Fernandez untuk melancarkan serangan buat Sepanyol.

Sebaliknya, Tunisia sekali lagi menghadirkan ancaman bahaya buat pelawat, kali ini menerusi Mohamed Ben Amor yang masuk menggantikan Saif-Eddine Khaoui, sebelum melepaskan rembatan deras yang sipi ke kanan gawang pada minit ke-80.

Tatkala aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan, Aspas muncul pemusnah apabila dia menyudahkan gerakan daripada Diego Costa untuk memastikan kemenangan 1-0 menjadi milik Sepanyol.

Skuad La Roja bakal memulakan saingan Piala Dunia 2018 pada 16 Jun berdepan juara Piala Eropah 2016, Portugal, bagi aksi pertama Kumpulan B di Stadium Fisht Olympic.
 

Advertisement

Must Watch Video