LIGA INGGERIS

Arteta tidak ragu Arsenal mampu bangkit selepas 'derby' London

Muzaffar Musa 11/12/2020 | 04:04 MYT
Mikel Arteta tiada sebarang keraguan mengenai kemampuan Arsenal untuk bangkit daripada aksi hambar mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula dengan perlawanan menentang Burnley hujung minggu ini.
Arsenal hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan EPLterakhir dan tewas tiga daripada empat pertemuan sebelum ini.
Kekalahan terbaru mereka adalah kepada seteru London, Tottenham, di mana Son Heung-min dan Harry Kane meletakkan skuad kendalian Mourinho itu di puncak EPL untuk memberikan Arteta kekalahan 'derby' keduanya sejak menjadi pengurus Arsenal.
The Gunners kini akan menghadapi enam perlawanan dalam kesemua kejohanan sepanjang tempoh 17 hari, termasuk suku akhir Piala EFL menentang bekas pasukan Arteta, Manchester City, menjelang sambutan Hari Natal.
Burnley akan bertandang Stadium Emirates hujung minggu ini tetapi Arsenal sekurang-kurangnya akan turun ke perlawanan itu dengan rentak kemenangan selepas menewaskan Dundalk 4-2 dalam Liga Europa awal pagi tadi.
Arsenal memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan memenangi enam perlawanan peringkat Eropah secara berturut-turut (tidak mengira pusingan kelayakan) buat kali pertama sejak November 2005 dan muncul sebagai pasukan tunggal merekodkan kemenangan 100 peratus sama ada dalam Liga Europa atau Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
"Saya tidak pernah ragu tentang bagaimana pemain saya akan memberikan respons, bagaimana kerasnya kami berusaha mencuba dan bagaimana setiap orang mencuba untuk menyokong pasukan ini.
Kami perlu membuktikannya dan mendapatkan tiga mata," kata Arteta dalam sidang media selepas perlawanan.
Skuad kendalian Arteta itu bergelut untuk menjaringkan gol dalam EPL dengan hanya menjaringkan 10 gol secara keseluruhan dan penggiliran pemain yang dilakukan mereka bagi saingan Eropah ternyata jauh lebih baik.
Arsenal secara keseluruhan menjaringkan 20 gol dalam saingan Kumpulan B dan hanya dibolosi sebanyak lima kali.
Arteta berasakan sudah tiba masanya untuk barisan mudanya itu diberikan peluang dalam saingan domestik.
"Kini kami sudah boleh melupakan Liga Europa sehingga Februari depan dan fokus kepada EPL, Piala EFL dan Piala FA apabila bermula.
"Kami memiliki skuad yang lebih besar, kami mempunyai pemain yang kembali daripada kecederaan, jadi kami mempunyai peluang untuk memilih siapa yang lebih baik pada waktu tertentu.
"Ia memberikan kami pilhan dalam EPL untuk fokus dan mendapatkan keputusan yang kami perlukan. Kami perlu mula menang secepat mungkin. Kami tidak boleh meneruskan keputusan kami dalam enam atau lapan minggu terakhir. Ia perlu bermula Ahad ini," katanya.
#Arsenal #Liga Perdana Inggeris #Liga Europa #Dundalk #Mikel Arteta
;