Arteta anggap beruntung selepas kalah di Brentford

Shaiful Shamsudin
Februari 19, 2022 10:26 MYT
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menekankan kepentingan sokongan yang ditawarkan kelab itu kepadanya dalam permulaan musim ini apabila berpeluang membalas dendam terhadap Brentford yang menewaskan mereka pada hari pembukaan.
Gol daripada Sergi Canos dan Christian Norgaard memberikan kemenangan kepada The Bees pada Ogos lalu, lantas pengurus The Gunners itu menghadapi tekanan teruk selepas pasukannya tewas dalam tiga perlawanan pembukaan kempen musim ini.
Sejak tiga kekalahan itu, hanya Manchester City (18) dan Liverpool (14) yang meraih lebih banyak kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding 12 kemenangan yang dikumpul oleh anak buah Arteta, dan pengurus Sepanyol itu mahu memuji hierarki di Stadium Emirates kerana mempertahankannya tatkala mereka menghadapi prestasi buruk.
"Saya sentiasa berasa sangat disokong dan difahami. Saya sehaluan dengan semua orang di kelab ini", katanya menjelang perlawanan timbal balik dengan pasukan bimbingan Thomas Frank itu di tempat sendiri, malam ini.
“Apabila kami mencipta keputusan yang sukar, kelab sentiasa bersama saya dan sangat menyokong saya dan pemain. Saya tidak akan ambil mudah tentangnya.
"Kekalahan adalah sebahagian daripada tugas ini dan anda boleh belajar banyak perkara. Anda perlu berdegil untuk mengekalkan kepercayaan sendiri.
"Tekanan adalah sebahagian daripada bola sepak. Itulah bola sepak hari ini, dengan segala kemudahan yang ada untuk menyatakan pendapat, sebagai pengurus kami sangat terdedah."
Arsenal di tempat keenam EPL untuk mengekori Manchester United, yang menghuni tangga keempat menerusi empat mata di depan selain berkelebihan tiga perlawanan, dalam usaha kelab utara London itu mengintai tiket ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2016.
Tetapi Arteta enggan memandang terlalu jauh apabila Arsenal dikaitkan sebagai pilihan untuk untuk layak.
“Kami memang berhak berada di kedudukan sekarang. Ia adalah satu penghargaan kepada kelab, pemain, semua orang.
“Kami perlu mengharungi perlawanan demi perlawanan, untuk memaksimumkan kedudukan yang kami ada dan itulah yang akan kami lakukan.
"Esok kami akan cuba beraksi dengan baik dan memenangi perlawanan, itu sahaja sasaran kami."
#Arsenal #EPL #Liga Perdana Inggeris
;