Arif Aiman tetapkan kriteria berhijrah ke luar negara

Sinar Harian
Julai 6, 2023 13:50 MYT
Pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi, menegaskan dia hanya akan membuat keputusan untuk berhijrah ke luar negara jika ada pasukan yang bersungguh-sungguh benar mahu mendapatkan khidmatnya.
Menurutnya, biarpun dikatakan berpotensi untuk mengembangkan lagi bakatnya, namun dalam masa sama pemain berusia 21 tahun itu mengakui bukanlah sesuatu yang mudah beraksi di luar negara buat masa ini.
“Main di kelab luar negara bukanlah sesuatu yang senang. Saya belum cukup bagus untuk bermain di Jepun atau Korea Selatan.
“Ingat senang nak main? Mentaliti mereka pun tak sama. Jadi buat ketika ini, saya memang kena kekal di sini dan tingkatkan lagi prestasi.
“Lagipun, mereka bukannya benar-benar nak pemain kita.
"Kalau (ada tawaran) betul-betul barulah pergi (berhijrah), kalau tak, kekal di JDT sajalah,” katanya dalam sesi perjumpaan dengan peminat sempena pelancaran $JDT Fan Token, di Johor Bahru, semalam.
Arif Aiman berkata demikian bagai mengulas cadangan daripada beberapa pihak agar dia berkelana ke Timur Tengah, Jepun atau Korea Selatan dalam usaha mengembangkan lagi kariernya.
Mengulas mengenai perlawanan final Piala FA berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 22 Julai ini, Arif Aiman berkata selaku juara bertahan, kesemua pemain sememangnya mahu memenangi trofi berkenaan.
Justeru katanya, kesemua pemain bertekad untuk memberikan aksi terbaik bagi menambah koleksi piala musim ini.
“Saya memang nak JDT menang piala ini,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
#liga super #JDT #Arif Aiman Hanapi
;