Arif Aiman terus janjikan harapan
Asmawi Bakiri
Disember 17, 2023 15:24 MYT
Disember 17, 2023 15:24 MYT
Tidak akan pernah ada rasa cukup kekaguman yang dapat saya rakamkan terhadap pemain sayap berusia 21 tahun Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Perwatakan selaku seorang profesional sejati, berjuang tanpa mengenal erti putus asa dan ketajaman sentuhan penyudahnya akan membuat mana-mana jurulatih pun berasa sedap hati dengan sumbangan dan kehadiran pentingnya.
Enam gol dalam tempoh lapan hari sebenarnya mengisahkan seorang pemain barisan serangan yang sentiasa laparkan kejayaan dan kehausan dalam menghasilkan jaringan yang tiada batas sempadannya.
Mempamerkan kesabaran dalam final Piala Malaysia menentang Terengganu 8 Disember lalu, Arif Aiman menanti detik terbaiknya pada masa kecederaan untuk menyudahkan sepakan penalti ciptaannya sendiri setelah dijatuhkan Shahrul Nizam Ros Hasni untuk melengkapkan kemenangan 3-1.
Berselang empat hari ketika berdepan BG Pathum dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL), dia tidak ketinggalan mencatat nama dalam senarai penjaring dalam kemenangan 4-1.
Seterusnya, empat lagi golnya ketika JDT membelasah Penang FC 8-0 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) petang kelmarin, menyempurnakan musim cemerlang Arif Aiman dengan 12 gol liga sambil JDT mencipta rekod 100 jaringan dalam Liga Super musim 2023.
Selagi pemain ini dapat menghindarkan diri daripada kecederaan serius, berdisiplin dalam latihan dan bersungguh-sungguh dalam ikhtiarnya di atas padang, tiada had terhadap potensi sebenar yang mampu diserlahkannya.
Sebagai bekas pemain bola sepak profesional, saya berasakan kegembiraan yang teramat besar dalam mengupas perjalanan bintang muda ini, menjejaki langkahnya dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa yang megah kini.
Kegemilangan yang Arif Aiman kecapi terasa cukup gemersik di hati, terutama dengan pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila dia disenaraikan sebagai antara lima bintang yang perlu diberikan tumpuan untuk kempen Piala Asia 2023 Qatar bulan depan.
Pengiktirafan ini bukanlah sekadar suatu penghargaan kepada Arif Aiman seorang, tetapi turut merupakan satu “testament” terhadap kebangkitan bola sepak Malaysia di pentas global.
Ini merupakan satu saat yang membanggakan bagi peminat bola sepak Malaysia dan satu laungan kejayaan buat usaha kolektif yang dilaburkan dalam ekosistem sukan ini.
Namun, di sebalik rasa bangga dan pujian yang dihadiahkan, kata-kata bekas pemain pasukan kebangsaan, Razman Roslan, dalam temu bual bersama akhbar Sinar Harian ada benarnya dan harus dijadikan peringatan.
Menurut Razman, jika sebelum ini pasukan-pasukan negara lain tidak terlalu memberikan perhatian terhadap Arif Aiman, perkara sebaliknya pasti berlaku kini gara-gara pengiktirafan FIFA tersebut.
Korea Selatan, Bahrain serta Jordan merupakan halangan yang harus diatasi andai kegemilangan ingin dicapai sewaktu saingan Piala Asia kelak dan semestinya pasukan-pasukan yang berpengalaman besar sebegini tidak akan membiarkan Arif Aiman bebas beraksi sepanjang perlawanan.
Menyebut tentang negara-negara ini, saya turut terpanggil untuk bersetuju dengan pendapat Razman bahawa Arif Aiman sebenarnya sudah bersedia untuk beraksi bersama pasukan-pasukan dari liga antarabangsa kerana kualiti yang dimilikinya membolehkan dia untuk berdiri sama tinggi dengan mana-mana pasukan sekalipun.
Dengan tempoh kurang dari sebulan sebelum Piala Asia bermula, tekanan yang dihadapi seluruh pasukan sangat besar tetapi harapan yang dipertaruhkan adalah lebih besar lagi.
Tiada sesiapa yang mampu tahu apa yang bakal berlaku tetapi sesuatu yang berani saya ramalkan adalah Arif Aiman akan beraksi cemerlang dalam memimpin pasukan negara kita dalam memberikan persembahan membanggakan.