Arham Khussyairi kekal di Kuching City FC demi minit permainan

Shaiful Shamsudin
Februari 19, 2024 23:08 MYT
Tonggak pertahanan, Arham Khussyairi Abdul Wahab, mengesahkan dia akan terus kekal bersama Kuching City FC untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, dia teruja untuk terus kekal di Sarawak selain peluang bekerjasama dengan pengendali ‘The Cats’, Aidil Sharin Sahak, untuk musim kedua.
'Setakat ini Alhamdulillah boleh dikatakan 90 peratus benar sebab tempoh hari dengan segala persiapan mereka (Kuching City FC), CEO pasukan sendiri pun dah ada call saya menyatakan hasrat memang nak kekalkan saya.
"Saya setuju untuk kekal di Kuching," katanya.
'Along' turut mengakui persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kian sengit dengan kemasukan beberapa muka baru, namun percaya peluang buat dirinya tetap ada.
Untuk rekod, Along telah beraksi dalam 16 perlawanan bagi semua kejohanan membabitkan Kuching City musim lalu.
"Sebagai pemain memang kita nak minit permainan sebab dari setiap perlawanan itu kami akan meningkatkan prestasi.
"Memang khabar angin mengatakan ramai muka baru akan sertai Kuching City musim baru ini tapi bagi saya sendiri, saya akan buat yang terbaik.
"Saya akan rebut tempat untuk saya diberikan minit permainan. Saya sendiri yakin Insya-Allah saya ada peluang," katanya.
#liga super #Liga-M #Kuching City FC #Spekulasi Perpindahan Liga Malaysia
;