Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menyambar penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales beraksi untuk juara 10 kali Liga Super itu musim depan.

Kehadiran Morales ke JDT itu diumumkan menerusi satu video berdurasi 42 saat di laman Facebook milik pasukan Harimau Selatan itu pada Rabu.

Para penyokong JDT teruja dengan kehadiran penyerang berusia 26 tahun itu, namun video pengenalan pemain itu turut menarik perhatian apabila dikatakan menyindir Selangor FC.

Video tersebut memaparkan seorang tukang masak menyediakan hidangan dua biji lada benggala berwarna merah kuning yang kemudiannya dihidangkan kepada Morales.

Namun, dia tidak menjamah hidangan tersebut sebaliknya membuang makanan itu ke dalam tong sampah sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.

Warna merah kuning sememangnya sinonim dengan Selangor FC, namun tidak dapat dipastikan adakah video tersebut merujuk kepada pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah beberapa kali memuat naik status menyindir Selangor FC dengan yang terbaharu menyatakan bahawa pasukan itu hanya mara ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) atas hasil bantuan mata AFC MA Ranking yang diraih skuad Harimau Selatan itu.-Sinar Harian