SERIE A
Antonio Conte tuntut Napoli nikmati tekanan buru Scudetto
Antonio Conte menyeru anak buahnya di Napoli agar menikmati perlumbaan kejuaraan Serie A menjelang pertembungan getir menentang pendahulu liga, Inter Milan, awal pagi esok.
Napoli kini berada di tangga kedua, hanya satu mata di belakang pasukan bimbingan Simone Inzaghi itu dalam usaha mereka untuk mempertahankan gelaran Scudetto yang dimenangi pada musim 2022-23.
Namun, prestasi mereka kebelakangan ini agak membimbangkan selepas gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir liga (D3 L1). Conte, yang terkenal dengan mentaliti kemenangan, mahu pasukannya segera bangkit dan kembali ke landasan kemenangan.
Iklan
Malah, dalam sejarah pengurusannya di Serie A, pasukan kendalian Conte tidak pernah melalui lima perlawanan tanpa kemenangan. Jika tewas kepada Inter selepas kekalahan mengejut kepada Como sebelum ini, Napoli berisiko mengalami dua kekalahan berturut-turut buat kali pertama sejak Disember 2023.
Menurut simulasi data Opta, Napoli hanya mempunyai 24.2 peratus peluang untuk menjulang Scudetto, jauh di belakang Inter yang mendominasi dengan 68 peratus, manakala Atalanta diberikan 7.1 peratus peluang untuk mencipta kejutan.
Walaupun prestasi Napoli dipersoalkan, Conte tetap yakin dengan keupayaan skuadnya untuk bersaing merebut kejuaraan.
“Di luar kedudukan liga, saya mengharapkan Napoli yang lebih tersusun selepas tujuh bulan,” ujarnya kepada media.
— Inter ⭐⭐ (@Inter) February 28, 2025
“Menduduki kedudukan ini sepatutnya membuatkan kami berbangga, bukannya tertekan. Seperti yang saya selalu ingatkan kepada pemain, tekanan boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif.
“Sebab itu saya mahu mereka menikmati detik ini. Kami berada di tempat ini kerana kerja keras kami.
“Secara keseluruhan, perlawanan ini akan memberi kesan kepada kedudukan liga kerana tiga mata sangat berharga, dan persaingan masih terbuka dengan banyak pasukan yang berada rapat di atas.”
Adakah Napoli mampu kembali bangkit dan menewaskan Inter dalam perlawanan penting ini? Semua mata akan tertumpu ke Stadio Diego Armando Maradona awal pagi ini.
Must-Watch Video