Skip to main content

Bola Sepak

Ansu Fati tekad julang LaLiga, UCL buat Barcelona

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fati.jpg
BARCELONA 3 LEVANTE 0

Ansu Fati melaungkan hasrat Barcelona untuk menjulang trofi LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini selepas kembali menemui sentuhan pemusnah ketika membenam Levante 3-0, malam tadi. 


Fati, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat permainan selepas 10 bulan tersisih akibat kecederaan lutut, sempat mempamerkan aksi memukau untuk Barca mengakhiri kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan.

Luuk de Jong terlebih dahulu menggandakan keunggulan Barca dalam perlawanan keempat pembabitannya sejak meninggalkan Sevilla selepas rakan sepasukannya dari Belanda, Memphis Depay, membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti.

Ia sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya dua pemain Belanda yang berbeza mencetak gol dalam perlawanan LaLiga yang sama selepas kali terakhir Arjen Robben dan Klaas-Jan Huntelaar melakukannya ketika Real Madrid menentang Athletic Bilbao pada Mac 2009. 

Barca menempuhi laluan berliku musim ini apabila dikejutkan dengan perpindahan Lionel Messi sambil kedudukan Ronald Koeman sebagai pengurus turut dipantau rapi. 

Fati, bagaimanapun, mengharapkan kejayaan besar mampu dikecapi gergasi Catalan itu pada musim ini.

"Kami adalah Barca, kami akan mencabar LaLiga, UCL dan semua pertandingan yang kami lalui," katanya kepada Movistar.

"Semua pasukan mahu memenangi segala-segalanya, tetapi kami adalah Barca dan kami harus memperjuangkannya."

 

Fati kembali menjalani latihan sejak bulan lalu selepas tiga pembedahan lutut yang sama sejak November 2020.

Walaupun menyarung jersi nombor 10 yang pernah dimiliki Messi, Fati sama sekali tidak tertekan untuk memainkan peranan yang ditinggalkan pemain Argentina itu.

"Saya bangga dapat memakainya selepas Leo," tambahnya. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab dan kapten kerana memberi saya peluang untuk memakainya.

"Ini bukan satu tekanan, sebaliknya saya bersyukur kerana berkesempatan untuk memakai nombor ini yang telah membawa banyak anugerah kepada kelab ini."

Penolong jurulatih Barca, Alfred Schreuder, bertindak mengendalikan pasukan berikutan penggantungan Koeman, lantas pengurus dari Belanda itu gembira dengan sambutan yang ditunjukkan kepada Fati di Camp Nou.

"Reaksi stadium jelas, kami sedar dia merupakan seorang pemain yang mampu mencipta sebarang peluang dari mana-mana sudut," katanya.

"Kami tahu dia boleh beraksi selama 15 minit hari ini dan ia adalah langkah pertama. Kami tahu dia adalah seorang pemain yang sangat bagus tetapi sudah dia lama tidak tampil."

Barca akan berdepan Benfica dalam UCL pada Khamis ini. 
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video