LIGA PERDANA MSIA
Annuar tidak bertanding presiden KAFA
Bekas presiden, Tan Sri Annuar Musa, sah tidak akan bertanding bagi merebut kerusi nombor satu dalam kongres agung luar biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Sabtu ini.
Dengan ketiadaan Ahli Parlimen Ketereh itu, tiga calon lain, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah; dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz, mengesahkan pencalonan.
Perkara tersebut disahkan oleh Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, selepas semua calon yang dicadangkan persatuan bola sepak jajahan (PBJ) menyatakan pendirian.
"Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan tiga calon akan berentap, iaitu Datuk Seri Mohd Zumridi Tambi, Muhammad Yusri Ismail dan Datuk Seri Afandi Hamzah.
"Bagi jawatan naib presiden, enam tokoh menawarkan diri, iaitu Datuk Rowi Dollah, Datuk Shaari Mat Hussain, Effendy Yahya, Muhammad Affiq Kamaruzaman, Prof Dr. Zaliman Sauli dan Hassan Hasbullah," katanya.
Sementara itu, seramai 27 calon telah mengesahkan diri untuk merebut jawatan ahli jawatankuasa eksekutif (exco) dalam EGM kali ini.
Untuk rekod, EGM KAFA akan diadakan selepas exco sebulat suara bersetuju menerima desakan daripada PBJ ekoran kemerosotan prestasi skuad The Red Warriors (TRW) dan peletakan jawatan Bibi Ramjani Ilias Khan selaku presiden.