Annuar: Presiden baru FAM usah jadi 'pak turut'
Penulis Jemputan
Jun 29, 2018 23:41 MYT
Jun 29, 2018 23:41 MYT
Tan Sri Annuar Musa mengharapkan angin perubahan sebenar yang diimpikan peminat bola sepak tanah air berupaya menjadi realiti di bawah kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Susulan memberi laluan kepada Hamidin untuk menang tanpa bertanding, Annuar berasakan bakal presiden FAM itu perlu membentuk dasar yang mampu meningkatkan semula mutu bola sepak negara.
"Saya berharap Hamidin dapat keluar daripada kepompong kebiasaan yang dilakukannya sebelum ini ketika bertindak sebagai pegawai eksekutif. Ini bermakna sebelum ini dia menerima arahan daripada pihak lain.
"Sebagai presiden (FAM), saya harap beliau sedar, beliau ada tanggungjawab memimpin.
"Apabila memimpin, beliau perlu menzahirkan ideanya sendiri dan tidak boleh menjadi orang suruhan kepada orang lain, keaslian dan kepimpinan perlu ada.
"Saya harap akan ada pembaharuan yang sebenar. Di Malaysia, bola sepak terlalu dikekang tanpa sebab.
"Setiap kali pemilihan (presiden FAM), orang bercakap tentang macam mana ingin maju, media mengangkat seseorang itu tetapi selepas pegang (jawatan), mereka tidak buat (kerja) juga.
"Tukar lagi, lepas itu datang pula (presiden yang baru), tetap tidak ubah juga dan kedudukan kita tidak berubah," ujarnya.