LIGA PERDANA MSIA
Annuar kembali dicalonkan presiden KAFA
Empat calon termasuk bekas presiden, Tan Sri Annuar Musa, menjadi pilihan persatuan bola sepak jajahan (PBJ) untuk menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Sabtu ini.
Selain Annuar, tiga calon lain ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.
Perkara tersebut disahkan oleh Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, selepas pencalonan ditutup hari ini.
Iklan
"Berdasarkan situasi semasa, besar kemungkinan akan berlaku pertandingan empat penjuru untuk jawatan presiden KAFA kali ini.
"Pihak urusetia KAFA akan menghubungi semua calon untuk memaklumkan mengenai pencalonan mereka terlebih dahulu.
"KAFA memberi tempoh hingga Rabu ini kepada mereka (calon) sama ada untuk menerima pencalonan tersebut atau menarik diri," ujarnya.
Afandi juga memberitahu empat calon akan bersaing untuk jawatan timbalan presiden iaitu Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Seri Mohd Zumridi Tambi, Muhammad Yusri Ismail dan Datuk Seri Afandi Hamzah.
Sementara itu, seramai 29 pencalonan telah diterima untuk jawatan exco KAFA dalam EGM kali ini.
"Senarai penuh calon akan dimuktamadkan Khamis ini," katanya lagi.
Must-Watch Video