Pemain Portugal, Renato Sanches, akan kekal bersama Bayern Munich menjelang musim baru selepas disahkan oleh pengendali, Carlo Ancelotti.
Sanches sebelum ini dijangka meninggalkan juara Jerman itu menerusi pinjaman selepas hanya melakukan enam penampilan liga bersama Bayern dalam musim pertamanya dalam Bundesliga.
AC Milan merupakan antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya walaupun sebelum itu ketua pegawai eksekutif kelab, Karl-Heinz Rummenigge, menamakan pengendali Chelsea, Antonio Conte, sebagai individu yang bertanya mengenai status pemain muda itu.
Bagaimanapun, Ancelotti berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Sanches ketika saingan pra-musim dan mahu mengekalkan bekas pemain Benfica itu di Allianz Arena.
“Mengenai Sanches, tidak wujud sebarang berita. Dia memulakan musim baru bersama kami dan akan kekal sehingga jendela perpindahan ditutup pada 31 Ogos.
“Dia mempamerkan prestasi yang bagus dalam perlawanan terakhir kami,” ujar Ancelotti.
Penulis Jemputan
Tue Aug 01 2017