Amri Yahyah satu dalam seribu -- Zaquan Adha

Muzaffar Musa
Disember 18, 2023 19:07 MYT
Bekas kepten negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, menganggap Amri Yahyah sebagai legenda hidup tatkala bekas pertahanan negara, Razman Roslan, akui peminat akan merindui aksi 'gila-gila' pemain yang mesra disapa Wak Am itu.
Ini selepas Amri membuat keputusan untuk bersara daripada bola sepak profesional dengan perlawanan Liga Super melibatkan Sabah menentang Kedah Darul Aman di Stadium Likas semalam menjadi aksi terakhir buatnya.
Amri yang dimasukkan pada penghujung babak kedua mendapat tepukan gemuruh penyokong dengan keengganannya memakai lilitan kapten nyata mencuri tumpuan.
Bekas penyerang negara itu meninggalkan kancah bola sepak profesional pada usia 42 tahun walaupun tampak masih boleh bermain untuk beberapa tahun lagi berdasarkan susuk tubuhnya yang masih cergas.
Zaquan berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Saya amat menghormati Amri Yahyah kerana dia dapat bermain di tahap umurnya ketika ini.
"Bukan satu perkara yang mudah untuk pemain bola sepak mengekalkan diri dalam liga bola sepak sebegitu lama.
"Amri Yahyah salah seorang yang boleh dikatakan satu dalam seribu dan rentaknya juga masih boleh bersaing dengan pemain-pemain muda.
"Saya mengucapkan selamat maju jaya buat Amri Yahyah, terima kasih kerana mewarnai bola sepak Malaysia," katanya.
Razman menambah: "Dalam bola sepak, dia akan memberikan segala-galanya, tidak kira dalam latihan atau perlawanan, dia akan sentiasa memberikan komitmen penuh.
"Saya rasa pemain muda juga tidak dapat melakukan sepertinya kerana setiap apa yang dilakukannya, dia akan memberikan 100 peratus.
"Bagi saya, pemain muda perlu mencontohinya, dengan magis yang dilakukannya, sudah pasti kita akan merindukan aksi 'gila-gila' yang ditunjukkannya.
"Walaupun dia satu generasi dengan saya, saya rasa ramai menganggapnya pemain yang 'gila-gila' dan bolah dibuat kawan di dalam dan di luar padang," katanya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Amri Yahyah #Sabah FC
;