Ruben Amorim mengakui pemain Manchester United bergelut untuk menyesuaikan diri dengan formasi 3-4-3 yang cuba diterapkannya ketika The Red Devils bersiap sedia untuk menerima kunjungan Brighton esok.

Semalam, United kelihatan ditakdirkan bakal menempa sejarah baru untuk tewas buat kali keempat berturut-turut dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, sebelum bangkit mengatasi kelab tercorot, Southampton, dengan berbaki 10 minit permainan.

Hatrik Amad Diallo menyelamatkan maruah tuan rumah dan mengekalkan rentak tanpa kalah mereka setakat tahun baru ini selepas seri 2-2 di Liverpool serta kemenangan dalam penentuan sepakan penalti Piala FA di Arsenal.

Amorim sedar masih banyak kerja yang perlu dilakukan, lantas mengulas tentang pergelutan anak buahnya ketika bercakap dengan TNT Sports selepas meraih kemenangan 3-1 itu.

"Kami tidak sesuai bermain seperti ini. Anda lihat kami mempunyai beberapa corak ketika menguasai bola," kata pengurus itu,




"Ia kelihatan bagus pada akhirnya. Ini sebuah perlawanan yang sangat sukar, kami menampilkan prestasi berbeza dalam setiap babak.

"Southampton cekap mencipta ruang di antara garisan.

"Kami berdepan banyak kesukaran untuk mengekang mereka.

"Apabila mereka mulai dihambat keletihan mereka, kami mula mendapat ruang untuk digunakan.

"Kami masih perlu bekerja keras -- pemain benar-benar keletihan.

"Ia merupakan satu kejayaan, ia bagus tetapi ayuh teruskan perjuangan."