Pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan, tidak gentar untuk mengunci pergerakan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera, selain La'Vere Corbin-Ong dari sebelah kiri yang dilihat sentiasa menjadi tunjang kekuatan lawan dalam setiap perlawanan.
Amirul, yang bertindak selaku pertahanan kanan The Bos Gaurus, dijangka menghadapi tugas berat untuk mengawal kelincahan Cabrera yang sentiasa menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan.
Namun, berdasarkan pengalaman dalam pertemuan lalu di Larkin, Amirul bersama ketua pasukan, Nasir Basharuddin, sudah mempunyai formula bagi merantai langkah Cabrera dalam pertemuan Liga Super di Ipoh, malam ini.
"Aksi pertama saya pada musim ini adalah ketika menentang JDT di Larkin.
"Dalam perlawanan itu, saya dapat mengekang Cabrera dan Corbin-Ong. Lagipun Nasir berada di depan saya, gandingan kami berdua dapat menghalang serang-serangan JDT.
"Kalau kami dapat mengikut arahan jurulatih dengan dengan sebaik-baiknya, maka kami dapat menghalang serangan mereka dari sebelah kiri, " katanya.
Dalam pada itu, Amirul memohon peminat Perak agar turun ke stadium meskipun masih dilanda demam Piala Dunia Russia.
Baginya, Perak amat memerlukan peminat sebagai pemain ke-12 berdepan JDT, tambahan pula The Bos Gaurus sentiasa ada rekod baik setiap kali kedua-dua pasukan bertembung di Ipoh.
"Sejarah JDT di tempat kami setakat ini berpihak kepada kami, jadi kami ingin membuktikan mampu menewaskan mereka.
"Saya mohon peminat agar melupakan Piala Dunia buat seketika dan datanglah ke Stadium Perak untuk memberi sokongan buat kami," katanya lagi.