MAN UTD 3 SOUTHAMPTON 1

Amad Diallo meraikan salah satu minggu terbaik dalam kariernya selepas hatrik lewatnya memberi inspirasi kepada Manchester United untuk mengatasi Southampton 3-1, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Ruben Amorim itu kelihatan bersedia untuk menempa kekalahan keempat berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri selepas jaringan sendiri Manuel Ugarte dalam separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Diallo menyamakan kedudukan ketika permainan hanya berbaki lapan minit dan melancarkan satu rembatan lagi hasil hantaran Christian Eriksen untuk melepasi Aaron Ramsdale pada minit ke-90.

Pemain sayap Ivory Coast itu kemudian mengesahkan hatrik kemenangannya selepas kesilapan Taylor Harwood-Bellis, sekali gus meraikan minggu yang menyaksikan Diallo melanjutkan kontrak bersama United hingga 2030.

"Mungkin salah satu minggu terbaik dalam hidup saya," katanya di TNT Sports.



"Saya sangat gembira atas kemenangan ini. kami ini berhak memenangi perlawanan ini jadi saya sangat gembira."

Diallo merupakan pemain ketiga dalam sejarah EPL yang menyumbat tiga jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir permainan bagi menyertai dua lagi pemain legenda United.

Ole Gunnar Solskjaer pernah melakukannya ketika menentang Nottingham Forest pada Februari 1999 sebelum Wayne Rooney mengulanginya ke atas Hull City pada Januari 2010.

Bintang berusia 22 tahun itu yang kini mungkin dianggap wira baru United tetap mahu memuji rakan sepasukannya atas kebangkitan tersebut.

“Kami tahu kami mempunyai pemain berkualiti dalam pasukan ini,” tambahnya.

"Kami kadang-kadang perlu lebih garang di sepertiga akhir. Kami menunjukkannya dan kami adalah pasukan terbaik.

"Saya sangat gembira untuk kemenangan hari ini kerana pasukan ini berhak menikmatinya. Dalam bola sepak anda perlu percaya.

"Kami percaya hingga akhir permainan dan sangat gembira untuk memenangi perlawanan ini.

"Kami seri dengan Arsenal dan Liverpool jadi keyakinan itu ada. Kami sangat gembira."