Skip to main content

Bola Sepak

Altintop: Besiktas perlukan keajaiban singkir Bayern

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

besiktas.jpg
Besiktas memerlukan "keajaiban" untuk maju ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan menyingkirkan Bayern Munich, kata Hamit Altintop.

Juara Super Lig itu menghasilkan keputusan mengejut dalam Kumpulan G dengan meraih empat kemenangan dan dua seri ketika menghadapi ujian Porto, RB Leipzig dan AS Monaco.

Besiktas meraih tiket ke pusingan kalah mati, namun berdepan ujian sukar selepas diundi bersama jaguh Bundesliga itu yang menduduki tempat kedua Kumpulan B di belakang Paris Saint-Germain (PSG).

Bekas pemain tengah Bayern dan Turki, Altintop, percaya Besiktas mempunyai kemahiran untuk bersaing dalam UCL, begitpun mengakui pengalaman yang dimiliki skuad asuhan Jupp Heynckes itu jauh lebih baik.

"Permainan Besiktas sangat menarik untuk disaksikan dan begitu produktif di depan gol," katanya kepada Omnisport. "Ia meningkatkan keyakinan kami untuk menjadi pasukan unggul tetapi saya fikir ia juga berbahaya. Ia memerlukan kemahiran dan pengalaman untuk menangani suasana seperti ini.

"Kami perlu memberi penekanan bahawa Besiktas adalah pasukan yang berpengalaman cetek dalam UCL. Pencabar kami pula adalah Bayern, sebuah pasukan yang bermain di peringkat kompetitif ini selama bertahun-tahun.

"Jika mereka menjaringkan gol di tempat lawan, Besiktas memerlukan keajaiban di laman sendiri dengan mempamerkan sikap rendah diri dan mengendurkan sedikit harapan mereka. Saya berasakan keajaiban adalah perkataan yang sesuai jika Besiktas berjaya menyingkirkan Bayern.

"Dengan pendekatan yang tepat dan tekanan tinggi, saya membandingkan Besiktas dengan Arsenal.

"Arsenal dibolosi 10 gol ketika menentang Bayern tahun lalu, ia perlawanan yang tidak boleh diabaikan. Mereka pasti mampu mencapai kemenangan tetapi ia harus menjadi hari mereka," tambahnya.

Altintop percaya Bayern berada dalam kalangan pasukan pilihan selepas kebangkitan semula di bawah Heynckes biarpun ada pihak yang meraguinya. 

"Bayern mempunyai 56 mata dalam 22 perlawanan Bundesliga dan mereka hanya tercicir mata dengan PSG," katanya. "Bayern adalah pasukan kegemaran kedua dalam pertandingan ini selepas Real Madrid.

"Real telah memenangi dua trofi terakhir dan Bayern mara ke final sebanyak dua kali dalam lapan musim terakhir.

"Dengan pendekatan ini, anda dapat melihat tahap dan sejarah pasukan ini dengan lebih jelas. Saya fikir kelab itu lebih dihormati," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video