Skip to main content

Bola Sepak

Al-Ittihad buat Cristiano Ronaldo ratapi gelaran, muncul juara Liga Pro Saudi!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

liga-pro-saudi.jpg
Al-Ittihad merangkul kejuaraan Liga Pro Saudi dengan baki dua perlawanan selepas bangkit daripada ketinggalan dan menewaskan Al-Raed 3-1 di Stadium King Abdullah, Jeddah, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Laurent Blanc itu hanya memerlukan satu kemenangan daripada tiga baki perlawanan terakhir mereka untuk merampas takhta kejuaraan daripada Al-Hilal. 

Harapan Al-Ittihad untuk meraikan kejuaraan lebih awal ternyata tidak mudah apabila jaringan pembukaan Oumar Gonzalez meletakkan Al-Raed di hadapan seawal minit ke-9 permainan.

Bagaimanapun, Steven Bergwijn berjaya menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan hantaran Abdulrahman Al Obud ketika Al-Ittihad menggempur gawang gol Al-Raed pada minit ke-25.

Menuju ke minit ke-40 permainan, bekas pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Danilo meletakkan pendahulu liga itu di hadapan apabila menanduk masuk sepakan penjuru Unai Hernandez.

Al-Ittihad bermula garang pada awal babak separuh masa kedua sebelum jaringan Al Obud memastikan takhta kejuaraan liga berada dalam genggaman mereka.

Al-Ittihad telah menjuarai Liga Pro Saudi untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun dan kali ke-10 secara keseluruhan selepas turut meraih kejuaraan pada tahun 1982, 1997, 1999, 2000, 2001, 2003, 2007, 2009 dan 2023.

Advertisement

Must Watch Video