Penyerang PDRM, Alifh Aiman Rosman, memaklumkan bahawa dia akan membawa haluan baru menjelang saingan Liga Malaysia musim 2024/25 selepas kontraknya bersama pasukan itu tamat pada Disember lalu.

Pemain yang mesra disapa dengan panggilan Black itu berkata dia kini sedang dalam fasa perbincangan akhir dengan sebuah kelab Liga Super yang akan menjadi destinasinya selepas ini.

Difahamkan, Negeri Sembilan menjadi antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sebagai rekod, Alifh Aiman melakukan 10 penampilan Liga Super buat PDRM sepanjang musim lalu.

"Saya dengan PDRM sudah tiada apa-apa, kontrak pun sudah habis," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Sekarang saya tengah tunggu tawaran. Saya ada juga dapat tawaran tetapi masih belum ada hitam putih, jadi saya masih menunggu.

"Minit permainan amat penting buat saya kerana apabila mendapat minit permainan, kita akan menjadi lebih matang dalam padang," katanya.