EPL
Al-Hilal tawar Bruno Fernandes gaji tiga kali ganda jika tinggalkan Manchester United
Pasukan Liga Pro Saudi, Al-Hilal dilaporkan telah menawarkan yuran perpindahan luar biasa untuk menandatangani kapten Manchester United, Bruno Fernandes, meletakkan kelab Liga Perdana Inggeris, itu dalam kedudukan sukar menjelang jendela perpindahan musim panas.
Menurut The Athletic, Al Hilal telah menjadikan Fernandes sebagai salah satu sasaran perpindahan utama mereka untuk 2025 dan bersedia untuk membuat bidaan bersejarah melebihi rekod perpindahan semasa Britain sebanyak GBP115 juta (RM655 juta).
Sebagai tambahan kepada yuran perpindahan, Al Hilal dikatakan menawarkan Fernandes gaji RM370 juta setahun, tiga kali ganda lebih banyak berbanding gaji semasa di Old Trafford.
Iklan
Pemain tengah berusia 31 tahun itu masih belum bertindak balas, sebaliknya memilih untuk membantu Man United yang kini melangkah ke final Liga Europa.
Bayaran melebihi GBP115 juta untuk pemain berusia lebih 30 tahun tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah bola sepak.
Bagi Fernandes, Liga Pro Saudi boleh menawarkan persekitaran yang kompetitif, keselamatan kewangan, dan keupayaan untuk kekal relevan untuk tempat dalam pasukan kebangsaan, sesuatu yang telah dicapai oleh Cristiano Ronaldo dan Otavio sejak menyertai liga di Timur Tengah.
Fernandes telah menjadi salah seorang pemain terbaik United musim ini, mengumpul 19 gol dan 15 bantuan dalam semua pertandingan.
Dia mempamerkan aksi memberangsangkan dalam kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa, mengekalkan harapan United untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi kejuaraan Eropah, walaupun menduduki tangga ke-15 dalam carta Liga Perdana Inggeris.
Media Sepanyol telah melaporkan bahawa Real Madrid menghargai Fernandes sekitar RM513 juta.
Bagaimanapun, Man United telah menjelaskan bahawa mereka tidak sanggup membiarkan kapten mereka pergi dengan mudah.
Must-Watch Video