Trent Alexander-Arnold mengakui dia takutkan campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengenai bola terkena tangannya sebelum jaringan pembukaan Liverpool sewaktu menundukkan Manchester City 3-1 di Anfield awal pagi tadi.
Pemain City serta pengurus, Pep Guardiola, dilihat berang selepas pengadil, Michael Oliver, tidak menghadiahkan sepakan penalti selepas bola dilihat terkena tangan pertahanan The Reds itu ketika babak awal di Anfield.
Tidak lama selepas itu, Fabinho meletakkan Liverpool di depan pada minit keenam sebelum Mohamed Salah dan Sadio Mane meranapkan hasrat City walaupun Bernardo Silva menyumbat gol sagu hati.
Ditanya Sky Sports sama ada dia risaukan situasi itu, Alexander-Arnold menjawab: "Jelas sekali. Anda tahu ada VAR tetapi saya fikir ia telah mengenai lengan. Namun, saya rasa ia terkena tangan Silva dulu.
"Apa yang berlaku, anda cuba teruskan permainan, kami mara ke kawasan lawan dan menghukum mereka. Mereka mempersoalkannya tetapi anda perlu terus bermain."
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool menuju tempoh rehat antarabangsa dengan kelebihan lapan mata di puncak liga sambil sembilan mata mengatasi juara bertahan, City.
Musim lalu, The Reds meraih 97 mata tetapi tetapi terlepas gelaran liga di tangan City dan Alexander-Arnold berkata pasukannya memerlukan tahap konsisten yang sama untuk mengesahkan kejuaraan kali ini.
"Kami dalam prestasi terbaik dan masih belum tewas. Beraksi di laman sendiri kami sentiasa memiliki kelebihan dengan peminat di sini, jadi kami sentiasa mahu mengutip tiga mata," tambahnya.
"Kami mengutip 97 mata musim lalu dan ia tidak cukup, jadi kami tahu perlu lakukan perkara sama musim ini."
Babak penghujung perlawanan menyaksikan situasi tegang berlaku tetapi Alexander-Arnold berkata perkara itu sudah dijangka dalam pertemuan sebegitu.
"Ia sentiasa menjadi pertemuan yang penuh dengan semangat," katanya.
"Ia tentang keinginan untuk menang kerana kedua-dua pasukan mahukannya."
Penulis Jemputan
Mon Nov 11 2019