LIGA INGGERIS

Alex Ferguson sependapat perkembangan Manchester United terbantut -- Cristiano Ronaldo

Shaiful Shamsudin 14/11/2022 | 04:22 MYT
Cristiano Ronaldo mendedahkan telah Sir Alex Ferguson meyakinkannya untuk menyertai semula Manchester United dan bekas pengurus lagenda itu sedar perkembangan kelab berkenaan terbantut sejak persaraannya.
Ronaldo menjadi tumpuan utama musim ini selepas hasratnya untuk berpindah sebelum kempen musim ini bermula tidak diendahkan selain khidmatnya kurang dipedulikan pengurus baru, Erik ten Hag.
Walaupun sempat dikaitkan dengan perpindahan ke seteru Manchester City, ketua pasukan Portugal itu kembali ke Old Trafford pada Ogos 2021 atas nasihat bekas bosnya itu sambil sepakat bahawa kelab itu tidak berkembang sejak persaraan pengendali dari Scotland berkenaan pada 2013.
Dalam wawancara dalam program Piers Morgan Uncensored, Ronaldo turut mempersoalkan keputusan The Red Devils untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer dengan Ralf Rangnick musim lalu di sebalik mengakui hala tuju yang baru adalah penting.
"Saya ikut kata hati saya," katanya.
"(Alex) berkata kepada saya, 'Mustahil untuk anda datang ke Manchester City,' dan saya menjawab, 'Baiklah, Boss.'
"Sejak Sir Alex pergi, saya tidak melihat sebarang evolusi kelab ini. Kemajuan adalah sifar. Selepas memecat Ole, mereka membawa masuk Pengarah, Sukan Ralf Rangnick, sesuatu yang tiada siapa yang dapat fahaminya. Dia bukan seorang jurulatih.
"Tindakan kelab besar seperti Manchester United untuk melantik seorang pengarah sukan bukan sahaja mengejutkan saya, malah seluruh dunia."
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dia menyambung: "Saya rasa peminat patut tahu perkara sebenar. Saya mahukan yang terbaik buat kelab. Inilah sebabnya saya datang ke Manchester United.
"Tetapi kami berdepan beberapa isu dalaman hingga merencatkan usaha kami mencapai prestasi tertinggi sebagaimana yang ditonjolkan City, Liverpool dan juga Arsenal ketika ini. Kelab dengan dimensi ini sepatutnya berada di puncak pada pendapat saya dan malangnya, tidak bagi kami.
“Ibarat kata Picasso, anda perlu memusnahkannya untuk membina semula dan jika mereka bermula dengan saya, bagi saya ia tidak akan menjadi masalah.
"Saya sayangkan Manchester United, saya sayangkan peminat, mereka sentiasa berada di pihak saya. Tetapi jika mereka mahu melakukannya dengan berbeza, mereka perlu mengubah banyak perkara.
"Dia (Sir Alex) sedar. Semua orang menyedarinya. Orang yang tidak nampak perkara ini maka ia adalah kerana mereka tidak mahu melihatnya; mereka buta."
#Manchester United #Cristiano Ronaldo #Sir Alex Ferguson
;