BOLA SEPAK

Aksi persahabatan dengan Australia, Turkmenistan jadi tumpuan penyokong Harimau Malaya -- Azlan Johar

Muzaffar Musa 12/02/2023 | 13:27 MYT
Kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan akan menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air, demikian pandangan bekas pemain negara, Azlan Johar.
Ini selepas desas-desus skuad negara akan beradu kekuatan dengan pasukan yang beraksi dalam Piala Dunia Qatar 2022, Australia, selain satu lagi perlawanan yang tampak sudah disahkan menentang Turkmenistan.
Belum ada sebarang pengumuman rasmi berkenaan perkara itu tetapi Socceroos dikatakan menjadi pilihan berdasarkan keperluan skuad negara dalam mempersiapkan diri menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar.
"Saya rasa inilah masa yang paling baik untuk kita melihat pemain kita boleh pergi ke tahap setinggi mana," kata Azlan kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kita tidak mahu lagi bermain dengan pasukan yang sama taraf dengan kita kerana kita akan bertemu dengan pasukan yang gagah dalam Piala Asia nanti.
"Pertemuan dengan pasukan bertaraf Asia dan Australia ini adalah pertemuan yang paling tepat untuk melihat sejauh mana pemain kita boleh pergi dan untuk melihat apa kekurangan untuk diperbaiki menjelang Piala Asia nanti," katanya.
#bola sepak #Harimau Malaya #Piala Asia 2022 #Azlan Johar
;