Skip to main content

Bola Sepak

Aksi Melaka terima pujian Almeida

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

19717eduardoalmeida.jpg
Jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida, merakamkan penghargaan kepada barisan pemainnya selepas meraih kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia dengan menewaskan UiTM FC 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Katanya, sekalipun perlu menghadapi tempoh sukar, terutama kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan, Melaka tetap menyempurnakan sasaran tiga mata.  

"Sasaran hari ini (malam tadi) adalah tiga mata dan kami menemuinya. Jadi, semua harus diberikan penghargaan. 

"Ia perlawanan yang sukar kerana kami memiliki dua kecederaan dan banyak perkara kami tidak jangka berlaku. Kini kami hanya berharap pemain akan pulih untuk perlawanan akan datang."

Pada awal separuh masa pertama, kedua-dua pasukan tidak banyak melancarkan serangan, sebaliknya lebih berhati-hati dan bola banyak berlegar di kawasan tengah.

Tetapi semua itu berubah apabila pemain Melaka, Felipe Almeida Souza, memanfaatkan peluang daripada sepakan percuma, melakukan satu lencongan kaki kiri yang menarik untuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Soffuan Tawil, bagi meletakkan skuadnya di depan.

Melaka boleh menambah satu lagi jaringan apabila Marko Simic dikasari dalam kotak penalti, , malangnya sepakan yang diambil Simic tersasar melepasi palang gol.

Menuju tamat separuh masa pertama, serangan pantas memberi hasil kepada UiTM, dengan Akanni-Sunday Wasiu berjaya memadam pendahuluan Melaka.

Souza kembali menceriakan tuan rumah selepas rehat menerusi sepakan percuma pada minit ke-63 untuk meletakkan Melaka di depan 2-1.

Skuad pelawat melancarkan beberapa siri serangan tetapi kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail, berkata: "Kita dapat lihat pemain gantian melegakan kami. Dalam jadual yang padat ini, kami memerlukan pemain yang cukup bersedia.

"Jadi apa yang mereka pamerkan termasuk membuat beberapa peluang. Saya rasa kami tiada masalah untuk perlawanan akan datang apabila khidmat mereka diperlukan."

Advertisement

Jadual

warning-logo Tiada Maklumat Jadual

Must Watch Video