Manchester United perlu menjadikan medan pertemuan dengan Liverpool sebagai titik tolak untuk meletakkan perjuangan mereka musim ini di landasan tepat, menurut bekas penyerang kelab itu, Louis Saha.

The Red Devils berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kalinya sejak 1992 berikutan tewas dua perlawanan pembukaan.

Selepas diketepikan 1-2 kepada Brighton & Hove Albion di tempat sendiri, United dibelasah pula 0-4 di Brentford hujung minggu lalu.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh 30 tahun mereka memulakan musim dengan kekalahan liga berturut-turut, malah barisan Erik ten Hag itu bakal berdepan ujian getir berhitung dengan Liverpool, awal pagi esok.

Liverpool turut menempuhi permulaan perlahan selepas seri dengan Fulham dan Crystal Palace.

Ia secara tidak langsung menjadikan pertembungan kali ini lebih menarik memandangkan kedua-dua pasukan masih memburu kemenangan sulung masing-masing musim ini.




Walaupun pertemuan dengan naib juara musim lalu itu dianggap sukar, Saha sebaliknya percaya ia boleh memberi peluang yang baik untuk mereka memacu musim ini.

"Saya fikir akan berlaku kejutan dalam perlawanan ini," katanya kepada Stats Perform.

"Liverpool tidak beraksi di tahap yang sama seperti sebelum ini. Terdapat beberapa persoalan tentang permulaan kempen mereka.

"Saya fikir ia adalah perlawanan yang baik dan positif untuk Manchester United bertindak balas. 30 minit pembukaan akan menjadi sangat penting.

“Jika United tidak memberikan satu persembahan yang baik sepanjang permainan, mereka boleh dimusnahkan seperti mana-mana pasukan ketika menentang Liverpool.

"Tetapi jika mereka menemui semangat yang betul seperti yang kita lihat ketika pra-musim, maka ia boleh menjadi perlawanan yang menakjubkan untuk ditonton."