Skip to main content

Bola Sepak

Aksi di Pyongyang diteruskan -- FAM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hamidin_1.jpg
Aksi kelayakan Piala Asia membabitkan Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang akan tetap diteruskan meskipun ada ancaman terbaru membabitkan persengketaan di antara negara tuan rumah dan Amerika Syarikat.

Hal itu di sahkan Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang menegaskan tiada perubahan membabitkan venue perlawanan yang sudah pun ditangguhkan tiga kali oleh Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tegas Hamidin, selepas perbincangan dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, setakat ini masih belum ada sebarang perubahan membabitkan tarikh perlawanan yang dikekalkan pada 5 Oktober depan.

"Mereka pun telah membuat pemeriksaan selepas aksi berdepan Lubnan dan mendapati kami boleh meneruskan aksi di Pyongyang," ujar Hamidin.

Keputusan untuk mengekalkan tarikh tersebut turut merujuk kepada aksi terbaru Kumpulan B di Pyongyang apabila kunjungan Lubnan ke Stadium Kim Il-sung, 5 September lalu, berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.

"Pihak FAM telah pun membuat persiapan untuk bermain di sana dan seterusnya berangkat ke Hong Kong," tambah Hamidin.

Bagaimanapun, perubahan serta-merta akan berlaku sekiranya berlaku sebarang isu keselamatan serius di Korea Utara dalam tempoh waktu sehingga tarikh perlawanan itu.
 

Advertisement

Must Watch Video