PIALA DUNIA

Aksi cemerlang Lemar, Mbappe bantu Perancis

Penulis Jemputan 01/09/2017 | 01:33 MYT
PERANCIS 4 BELANDA 0
Aksi hebat dua pemain muda Perancis, Thomas Lemar dan Kylian Mbappe, menghadiahkan kemenangan 4-0 ke atas Belanda dalam aksi ketujuh Kumpulan A, kelayakan Piala Dunia 2018 di Saint-Denis.
Bermain di laman sendiri, Perancis mendahului seawal minit ke-14 apabila hantaran satu dua Antoine Griezmann dan Olivier Giroud bijak disudahkan Griezmann menewaskan penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen.
Pelawat bergelut untuk mencari gol penyamaan, terutama selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain akibat daripada layangan kad merah yang diterima pemain tengah, Kevin Strootman, pada minit ke-62.
Sebaliknya, Lemar terus menambah gol kedua Perancis 11 minit kemudian menerusi sepakan voli kaki kiri sebelum menambah gol kedua peribadi dan jaringan ketiga tuan rumah ketika perlawanan berbaki dua minit apabila mudah menolak masuk hantaran Griezmann.
Kelincahan Mbappe sejak masuk menggantikan Giroud akhirnya terbalas pada minit terakhir perlawanan apabila rembatan leretnya tepat ke kanan gol Belanda melepasi kawalan Cillessen, sekaligus muncul sebagai penjaring gol termuda Perancis sejak tahun 1963.
Keputusan 4-0 kekal sehingga ke wisel penamat dan mengekalkan Perancis di takhta Kumpulan A dengan 16 mata.
#Thomas Lemar #Kylian Mbappe #Perancis #kelayakan Piala Dunia
;