Jeneral tengah padang, Akram Mahinan, menegaskan keputusannya berhijrah ke Terengganu FC daripada Kuala Lumpur City adalah kerana mahu keluar dari zon selesa.

Dalam perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Akram percaya apa yang dilakukannya itu mampu meningkatkan prestasinya ke tahap yang lebih baik walaupun sudah meningkat usia.

"Saya tidak mahu terus berada di dalam zon selesa. Saya mahukan pasukan, suasana dan cabaran baru.

"Karier sebagai pemain adalah pendek jadi saya mahu berhijrah untuk timba pengalaman, kenal tempat orang dan lebih ramai orang.

"Terengganu sudah menghubungi saya sejak Jun 2023 dan ia menunjukkan betapa seriusnya mereka.




"Kenapa tidak saya ambil cabaran ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Apa pun, Akram menikmati banyak memori manis sepanjang empat musim bersama The City Boys.

"Empat tahun yang menakjubkan. Saya menyertai KL di peringkat Liga Perdana lagi. Tahun kedua pula kami memenangi Piala Malaysia Edisi Ke-100.

"Kemudian final Piala AFC. Sudah lama tidak tengok sokongan padu daripada penyokong.

"Saya sudah berikan yang terbaik buat KL.

"Saya tidak rasa KL ralat dan bersyukur sebab sudah berikan yang terbaik buat penyokong-penyokong," katanya lagi.

Ia menerusi kejayaan ke pentas final untuk tiga musim berturut-turut, bermula dengan final Piala Malaysia 2021, diikuti final Piala AFC 2022, seterusnya final Piala FA 2023.