BOLA SEPAK
Akram ketepi kritikan, fokus berdepan Indonesia
Kritikan demi kritikan tidak langsung mematahkan semangat pemain tengah negara, Muhammad Akram Mahinan, menjelang aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia, esok.
Meskipun kata-kata negatif tersebut datang daripada penyokong tanah air sendiri, tonggak PKNS FC berusia 26 tahun itu tetap bermotivasi tinggi dan komited untuk membantu pasukan meraih tiga mata di Stadium Gelora Bung Karno, jika diturunkan.
Menurut Akram, dia hanya akan cuba memenuhi tuntutan taktikal permainan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dan tidak mengambil kisah kritikan setiap kali turun beraksi menyarung jersi skuad kebangsaan.
Iklan
“Gangguan (kritikan) daripada luar itu semua saya sudah biasa saya hadapi. Saya cuma kena fokus permainan saya dan perlu berusaha untuk sumbang sesuatu buat pasukan. Saya sentiasa bersedia dan bila-bila masa jika terpilih, saya akan bagi sehabis baik.
“Paling penting, saya cuma fikirkan tiga mata untuk bawa balik ke Malaysia,” katanya.
Jika diturunkan esok, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal menikmati pertembungan penuh tradisi dan bersejarah, di antara Malaysia dan Indonesia.
Katanya, tekanan itu sentiasa wujud, namun dia dan rakan sepasukan mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi perasaan itu.
“Kami sudah sedia daripada segi fizikal dan mental untuk berdepan Indonesia. Gementar itu memang ada, saya tidak nafikan.
“Tetapi kami cuba alihkan perasaan gementar itu kepada keterujaan, sebab kami mahu raih keputusan positif di sini,” tambahnya.
Skuad negara tumpas 0-3 dalam aksi persahabatan dan pertemuan terakhir Harimau Malaya menentang skuad Garuda di Stadium Manahan Solo, Indonesia pada September 2016.
-- BERNAMA
Must-Watch Video