BOLA SEPAK MSIA

Ajar anak anda untuk lebih beradab! -- Safee Sali

Muzaffar Musa 03/04/2025 | 04:30 MYT
Dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri ketika ini, penyerang legenda bola sepak negara, Safee Sali, menitipkan pesanan buat ibu bapa di luar sana untuk memastikan anak mereka lebih beradab sewaktu berkunjungan.
Tambah pemain itu, untuk menjadi seorang yang berjaya dalam sesuatu bidang, adab perlu diletakkan sebagai keutamaan.
"Ibu bapa di luar sana tolong ambil perhatian!" katanya dalam satu kiriman Facebook Story.
"Ajarlah anak-anak anda sekalian untuk lebih beradab. Tegur orang yang lebih tua dengan panggilan yang sepatutnya.
"Nak raya lain macam sekalipun, nak ambil gambar sekalipun, jagalah adab anak-anak kita.
"Ini tidak, panggil kita macam sebaya mereka sahaja. Pakai nama sahaja.
"Saya tengok ibu bapa mereka pun tidak tegur apa-apa. Geram pula ada ibu bapa macam ini. Kalau kat padang bola saya dah suruh pumping 10 kali dah.
"Nak berjaya apa-apa pun, ADAB Nombor 1. Spread The Love."
#bola sepak #Harimau Malaya #Safee Sali