Aidil Sharin - Dua kesilapan bawa padah kepada Kuching City
Lukman Salleh
November 24, 2023 12:53 MYT
November 24, 2023 12:53 MYT
Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak merumuskan dua kesilapan yang dilakukan anak buahnya menyumbang kepada kekalahan 2 kosong kepada JDT pada Khamis.
Selepas beraksi baik dalam 20 minit pertama dengan mengekang asakan JDT, satu kesilapan dengan tidak menutup ruang kepada Bergson membolehkan pemain itu meledakan percubaan untuk gol pertama JDT pada minit ke-34.
"Kami bermain baik dalam 20 minit pertama," kata Aidil." Tetapi satu kesilapan dilakukan selepas itu iaitu beri peluang kepada Bergson untuk rembat dari jarak jauh.
"Kita tahu JDT kalau mereka tidak dapat masuk dalam petak mereka akan cuba lakukan percubaan dari jarak jauh.
"Dan menuju penghujung separuh masa pertama kami lakukan satu lagi kesilapan dengan berikan sepakan percuma depan kotak penalti. Ia jaringan yang cantik dan kita perlu akuinya.
"Tapi kami sepatutnya tidak melakukan kesilapan itu," kata Aidil.
Kuching tewas dengan dua jaringan JDT di separuh masa pertama menerusi Bergson pada minit ke-34 dan Juan Muniz pada minit ke-43.
Tiada jaringan terhasil di separuh masa kedua dengan Kuching City berjaya mengekang asakan pelawat.
"Babak kedua kami beraksi dengan lebih baik," kata Aidil. "Kami tidak bolos banyak... seperti beberapa pasukan yang lain. Justeru ia sesuatu yang positif buat pasukan kami untuk perlawanan akan datang."