Afzal Akbar pilih kekal di bumi Kelantan
Shaiful Shamsudin
Februari 3, 2024 19:34 MYT
Februari 3, 2024 19:34 MYT
Bekas pertahanan Kelantan FC, Afzal Akbar, menganggap pemain tempatan masih mempunyai peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan musim ini meskipun kuota import di atas padang bertambah kepada enam orang pemain.
Afzal sedar pemain tempatan perlu melipat gandakan usaha dalam misi menambat hati pengendali pasukan masing-masing.
Malah, dia percaya, pemain tempatan mempunyai kualiti serta kemampuan tersendiri untuk bersaing sebaris dengan tonggak import.
"Kami tidak boleh berputus asa begitu sahaja, kami perlu berjuang di atas padang dan rezeki kita akan sampai.
"Sekiranya prestasi pemain import jatuh, kami perlu ambil kesempatan itu. Jadi kami perlu sentiasa bersedia.
"Ini tawaran terbaik buat saya di atas padang. Saya perlukan minit permainan untuk buka mata orang di luar sana," katanya kepada Astro Arena, Fadhirul Suhaimi.
Selepas 13 penampilan Liga Super pada 2023, pemain berusia 25 tahun itu mengesahkan dia bakal menyertai Kelantan United untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.