Skip to main content

Bola Sepak

AFL beri kelonggaran Kelantan Red Warrior tangguh perlawanan berikutan situasi luar biasa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

yusoif-afl.jpg
Liga Bolasepak Amatur (AFL), sedia memberikan kelonggaran kepada Kelantan Red Warrior (KRW) untuk menangguhkan dua perlawanan pertama Liga A1 Semipro musim ini berikutan situasi luar biasa yang sedang melanda pasukan itu.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) diberitakan melarang KRW daripada menandatangani sebarang pemain sehingga 14 Ogos depan.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, ia berkemungkinan kerana KRW didapati memiliki identiti yang sama dengan Kelantan FC.

Sebagai rekod, Kelantan FC digantung pendaftaran oleh FIFA sejak 2023 berikutan masalah pembayaran gaji pemain.

KRW pula ditubuhkan pada Disember tahun lalu bagi menghadapi saingan Liga A1 Semipro musim ini.

Sehubungan itu, Pengerusi AFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, berkata pihaknya bersedia memberikan kelonggaran buat KRW untuk menunda dua perlawanan liga pertama menentang Selangor II dan Seoul Phoenix sehingga keputusan penuh dari FIFA diumumkan pada 14 Ogos depan.

"Kami belum menerima permohonan rasmi daripada KRW tetapi saya difahamkan pegawai mereka sudah berhubung secara lisan dengan AFL untuk menangguhkan dua perlawanan itu sehingga mendapat keputusan muktamad daripada FIFA," katanya kepada wartawan Astro Arena Fina Nasrom.

"Kami di AFL mempertimbangkan situasi, di mana mereka sudah menandatangani pemain, persediaan pasukan juga sudah berada di tahap terbaik, jadi kami akan memberikan kelonggaran itu sementara menunggu keputusan muktamad dikeluarkan," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video